Pages

Thursday, March 12, 2009

I CAME, I SAW, I CONQUER..

we conquered the peak..

Get ready to start..2.30a.m at Gunting Lagadan

The peak is waving..can u see that??


The trail in the Wonderland from the telenovela by 5 Islah..



Take nothing but photograph,leave nothing but footprints..




Kedatanganku ke Sabah kali ini membawa satu misi yang besar. Bersama satu harapan. Menawan puncak Gunung Kinabalu yang terkenal sebagai gunung tertinggi di Asia Tenggara. Berdasarkan peng’google’anku sebelum ke sini, Gunung Kinabalu ini mempunyai lagendanya tersendiri. Bagi kaum Kadazan Dusun,’Kinabalu’ diambil sempena ‘aki nabalu’ yang bermaksud tempat persemadian roh.Mereka percaya bahawa roh-roh akan bersemadi di gunung ini sebelum diangkat ke langit. Terdapat juga cerita dongeng yang mendakwa ‘kinabalu’ berasal dari’cina balu’.[bukak laman web wikipedia,baca sniri]

Seawal jam 5.30 pagi aku bersiap. Subuh di sini awal dari semenanjung. Kira-kira jam 6.30 pagi,kami bergegas menaiki bas. Kesemua peserta lelaki sudah mengambil tempat,menunggu kami.Namun, perkara biasa jika perempuan lambat dari lelaki tetapi luar biasa jika lelaki lambat dari perempuan.Ahakz..!

Perjalanan dari Sekolah Menengah Sains Sabah(SMESH) ke Timpohon mengambil masa lebih kurang 2 jam. Masing-masing membawa bagasi untuk disimpan di pejabat pendaftaran untuk mendaki Gunung Kinabalu dengan bayaran RM10 bagi setiap bagasi. Sekitar jam 11.15 pagi,kami menaiki bas ke Timpohon Gate. Setelah diperkenalkan dengan empat orang guide,taklimat pendek disampaikan oleh guide-guide tersebut. Kami difahamkan akan mendaki sejauh 6 kilometer ke Laban Rata.Esoknya,kami akan meneruskan pendakian bermula jam 2.00 pagi ke Low’s Peak.

Pada mulanya aku ditakdirkan untuk berada di kumpulan satu,memandangkan Kern yang merupakan temanku berada di kumpulan dua,aku menukar kumpulan dengan kebenaran Ustazah Zubaidah selaku guru penasihat Kelab Cygade. Kumpulanku terdiri daripada Raja Hazman sebagai ketua,Adiy,Iman, dan Amira(Kern). Kami memulakan pendakian mengikut kumpulan masing-masing.Guru bagi kumpulanku adalah Cikgu Anis.Setelah melepasi gate, kami mula menuruni anak tangga. Suasana yang redup amat menenangkan.

Pendakian ini menemukanku dengan lapan perhentian. Setiap perhentian ini disediakan pondok,tandas, dan tangki meng’top up’ air. Aku bersama semua peserta lain berhenti rehat di perhentian pertama,Pondok Kandis untuk mengisi perut yang minta diisi sejak pagi tadi kerana masing-masing belum bersarapan. Bekal yang disediakan untuk kami mengandungi sandwich,ayam goreng,telur ayam,popia(aku sorang je kot yang special..ahakz!), air bikarbonat perisa oren, dan air mineral. Setiap perhentian ini berjarak lebih kurang satu kilometer. Beg galas yang berjisim tiga kilogram(agaknya la..) ini terasa menghenyak pundakku.Kebas. Di perhentian kedua iaitu Pondok Ubah,aku menyerah.Beg galasku diserahkan kepada ‘guide’ yang membawa kami.Di tanganku hanya terdapat bekalan makanan.

Terasa ringan sekali badanku bergerak. Pendakian diteruskan.Ahli kumpulanku sudah tidak kelihatan.Namun,Kern masih setia bersamaku.Kami mendaki tanpa mengikut kumpulan lagi. Masing-masing bergerak dengan kemampuan diri. Tiba di perhentian kelima iaitu Pondok Layang-layang,kami berhenti.Hujan renyai-renyai kelihatan mulai membasahi bumi. Aku menyarungkan windbreaker berserta baju hujan. Kami meneruskan pendakian tanpa menunggu masa yang lama. Peserta yang mendaki bersamaku sejak di Pondok Layang-layang hingga ke Laban Rata adalah Kern danSolihin. Hujan agak lebat ketika kami meneruskan pendakian.Namun, pokok-pokok yang tumbuh subur mengurangkan jumlah titisan hujan yang mengenai baju hujan kami..huhu..



Sepanjang pendakian kami berborak bagi mengurangkan rasa penat. Aku meneguk air mineral+100 plus beberapa kali bagi menghilangkan dahaga serta menambah tenaga. Peluh tidak terasa mengalir kerana suhu yang semakin sejuk. Kern yang agak kebaratan kerap menyapa warga asing yang bertembung dengan kami. Peristiwa yang paling aku ingat,ketika disapa oleh seorang warga asing dari Romania. Aku yang kepenatan hanya menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya ketika bertembung. Namun, dia mula ramah untuk memulakan perbualan. Dia menyatakan bahawa tongkat kayu yang dibawaku sama seperti tongkat yang pernah digunakan Muhammad. Namun,malang bagi dirinya yang berbual dengan diriku yang lam_ _ ini. Aku mengalihkan pandangan ke arah Solihin yang berada di hadapanku,meminta penjelasan. Solihin hanya mampu tersenyum..perghh! “pa mat saleh ni meqapu nyh?”ngomel hatiku..Dia mengulanginya sekali lagi.Aku mula faham.
“Have u been in Makkah?”
“No. Not yet.”
“ Are yo willing to go?”
“Yeah. InsyaALLAH,one day I’ll be there”
Bla..bla..bla..

Setelah mengucapkan selamat berjaya,kami meneruskan pendakian. Terlupa pula untuk bertanya namanya. Aku kurang pasti sama ada warga asing tersebut beragama Islam atau hanya mempunyai pengetahuan tentang Islam.Moga-moga dia mendapat hidayah daripada Allah SWT. Pendakian kali ini disertai batu-batu yang licin. Solihin yang membawa kamera di pinggang merakamkan beberapa keping gambar. Pemandangan yang indah mengurangkan rasa penat.Subhanallah…pendakianku kali ini banyak mengingatkan diri tentang kebesaran ALLAH SWT. Kemudian, Faez Ridhuan yang merupakan pengerusi kelab pula menyertai kami. Di sepanjang pendakian,mataku meliar mencari sesuatu. Bunga pakma yang sering diuar-uarkan sebagai bunga terbesar itu membuatku diriku curious untuk melihatnya dengan mataku sendiri. Aku agak kecewa apabila bunga tersebut tidak ditemui tapi, aku yakin ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Atau memang rafflesia ni tak tumbuh kat Gunung Kinabalu. Ahakz..! ehm..abaikan.

Tiba di satu lokasi,aku merasa sunyi. Di hadapanku,tiada sesiapa.Di belakangku, hanya batu-batu dan pokok renek.Sememangnya pada ketinggian ini pokok renek sahaja yang layak tumbuh.(teringat tem blajaq Geo ms kecik2 dulu..).Adakah aku disembunyikan bunian?seperti yang selalu kubaca dalam Mastika.Astaghfirullahalazim..aku beristighfar panjang. Aku mula berzikir di dalam hati dan membaca ayat kursi moga-moga dilindungi ALLAH SWT. Aku berhenti sebentar sambil menimbangkan sama ada untuk meneruskan pendakian atau menunggu kelibat Kern dan Faez muncul. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk meneruskan pendakian dengan harapan aku akan bertemu peserta lain di hadapan nanti. Dengan penuh tawakkal, aku mendaki semula. Tiba di sebuah pondok,aku nampak kelibat Solihin sedang berteduh daripada hujan di situ.Alhamdulillah.Pondok tersebut kuagak perhentian terakhir sebelum kami sampai ke Laban Rata. Dari situ,kelihatan sebuah bangunan kuning.Aku agak mungkin kami sudah menghampiri Laban Rata. Hujan semakin galak menghempapkan titisan-titisan airnya ke muka bumi. Aku menyertai Solihin berteduh di pondok tersebut sambil menunggu Kern dan Faez. Tidak lama kemudian, kelihatan Kern dan Faez menghampiri kami. Adiy dan seorang lagi peserta(x ingat sapa..) menyertai kami berhenti di pondok tersebut. Kemudian,guide yang membawa kami mengajak meneruskan pendakian. Kami dimaklumkan bahawa bangunan kuning tersebut adalah Laban Rata Resthouse dan merupakan tempat di mana kami akan bersantap,berlahap,berminum,berehat,ber..(pa2 je la..).

Setelah memecat windbreaker dan baju hujan,kami masuk ke dalam bangunan tersebut. Aku dan Kern terus ke meja hidangan bufet. Kedua-dua jarum jam mengarah ke angka enam.Kami mengisi perut secara ala kadar kerana masih keletihan.Kemudian, aku,Kern,Ain bersama cikgu Anis dan Ustazah Zubaidah bergerak ke Gunting Lagadan yang memakan masa 5-10 minit pendakian. Setibanya di rumah rehat tersebut,aku terus berwudhu’ dan menukar pakaian.Usai solat,aku merebahkan diri di katil dan terus terlelap.

Kira-kira jam dua pagi,pintu bilik kami diketuk.Aku bergegas ke membersihkan diri dan bersiap untuk meneruskan pendakian ke puncak. Kesejukan pagi itu,memaksaku memakai baju yang tebal. Kasut yang masih basah terkena hujan semalam masih belum kering. Dengan suhu sebegini,memang kasut tu takkan kering.Sekitar jam 2.30 pagi,aku keluar dari bilik dan menyertai peserta yang lain di ruang depan. Hanya 21 orang daripada 23 orang pada asalnya yang akan meneruskan pendakian ke puncak. Asma dan Mark tidak dapat meneruskan pendakian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tepat jam 2.40 pagi,kami bergerak meninggalkan Gunting Lagadan. Baru beberapa langkah memulakan pendakian,badanku terasa berpeluh dengan baju tebal yang menyarung badanku. Glove yang dipakai kutanggalkan bagi mengurangkan kerimasan. Dengan bantuan headlamp, aku menyusun langkah dengan berhati-hati. Tersilap langkah boleh mengundang maut. Sampai di satu lokasi, kelihatan cerun berbatu yang tinggi. Aku terpaksa berpaut pada tali yang disediakan. Pendakian di Gunung Kinabalu ini amat berbeza dengan pendakian di Gunung Jerai sebelum ini. Beberapa kali aku tergelincir disebabkan batu yang licin kerana terdapat air yang mengalir. Mungkin salah kasutku juga yang ‘grip’nya tidak cukup kuat untuk mencengkam permukaan batu tersebut. Dalam kegelapan,kami meneruskan pendakian. Beberapa kali aku berhenti berehat bersama-sama Kern dan yang lain-lain. Rasa menyesal pula tidak membawa bekalan air. Kehausan mencengkam tekakku. Kern juga merasai perkara yang sama. Tiba-tiba, kedengaran bunyi deruan air. Kami menghampiri bunyi tersebut. Setelah menyakini kebersihannya, aku mula menadah tangan dan meneguk air tersebut.Alhamdulillah,tekakku terasa segar sekali. Setelah beberapa lama perjalanan,(tidak dapat dipastikan tempoh masanya kerana aku tidak memakai jam. Terlupa..huhu..) kami tiba di Sayat-sayat Hut iaitu kilometer 7.1.

Di Sayat-sayat, kami melaporkan diri. “Haziqah Yusra 009”. Namaku ditandakan sebagai bukti telah melepasi 7.1 kilometer daripada 8.5 kilometer. Bermakna, aku harus mendaki kira-kira 1.4 kilometer lagi. Pendakian 1.4 kilometer ini, terasa jauh sekali. Aku mula mengalami altitude sickness. Terasa mengah mungkin disebabkan udara yang nipis. Di kilometer 8.0, terasa seperti musafir di padang batu yang luas. Low’s Peak kelihatan melambai-lambai ke arah kami yang masih meneruskan pendakian. Aku yakin, pasti ada peserta yang telah sampai ke puncak. Aku gagahkan diri meneruskan pendakian untuk menyertai peserta lain di puncak. “Dhuha mesti dah sampai..”aku mengagak. Terasa kerdil diri ini melihatkan kebesaran ciptaan Ilahi.Begitu indah sekali. Sebelum ini, aku hanya melihat foto-foto gunung ini di internet dan kaca TV tapi, hari ini aku menjejakkan kaki di sini dan akan menawan puncaknya sebentar saja lagi. Aku meng’top up’ tenagaku dengan mengunyah beberapa biji coklat yang kusimpan di kocek windbreaker. Sesekali, ku ‘sedekah’kan juga kepada rakan-rakan yang mendaki bersama-samaku. Terutama sekali Eyda dan Faez yang sering mengadu kelaparan. Sebenarnya, aku juga kelaparan. Namun, apakan daya tak dak café kat atas ni…huhu..

Berbakikan sisa-sisa tenaga yang tinggal, aku gagahkan diri untuk memanjat batu-batu yang tajam dan curam. Low’s Peak semakin kuhampiri. Akhirnya, aku berjaya tiba di puncak. Kelihatan rakan-rakan yang bersamaku tadi masih di bawah kecuali Faez yang tiba di puncak beberapa saat awal daripadaku. Kesejukan mula dirasai. Pada ketinggian 13,435 kaki di atas paras laut atau 4095 meter, dengan suhu yang rendah serta udara yang nipis, kesejukan tersa menggigit seluruh tubuh. Low’s Peak merupakan puncak utama dan yang tertinggi di Gunung Kinabalu. Selain itu, terdapat tujuh puncak yang lain iaitu, South Peak,Tunku Abdul Rahman Peak, Donkey Ears Peak, Ugly Sisters Peak, St John’s Peak, Alexandra Peak, dan Victoria Peak. Kesukaran untuk bernafas merupakan altitude sickness yang biasa dihadapi para pendaki.Aku juga merasakannya..huhu..

Tenaga dirasakan hanya cukup untuk sampai ke puncak. Aku berehat sebentar di puncak tersebut sementara melihat rakan-rakan yang lain mula berusaha untuk meninggalkan Low’s Peak dan menunggu ketibaan ‘rakan VVIP’ yang lain untuk sampai ke puncak bersama Cikgu Zahrul. Perut yang kosong sesekali menjerit minta diisi. Aku hanya mengisi perutku dengan coklat. Bibirku terasa kering. Cikgu Malek yang menyedari akan mukaku yang pucat, menghulurkan tangan membantu. Beliau memimpinku turun di sepanjang perjalan kembali ke Gunting Lagadan. Terasa semangat untukku kembali ke Laban Rata dan menikmati sarapan pagi, mula pulih. Dengan mengikut nasihat Cikgu Malek yang sudah tiga kali menawan Gunung Kinabalu, aku menyusun langkah dengan berhati-hati menuruni laluan cerun yang berbatu. Pada ketika ini, barulah kelihatan rupa bentuk trek yang kami lalui pagi tadi. Memang membahayakan dan boleh mengundang maut. Sesekali aku tergelincir juga namun, tangan Cikgu Malek pantas menarikku. Sebulan sebelum ke sini, aku pernah melakukan pemeriksaan kesihatan. Didapati tekanan darahku rendah. Namun, peluang yang ada di depan mata tak mungkin aku lepaskan. Program yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kelab Cyber Brigade ini menjadi tumpuan ramai pihak terutamanya warga SBPI Kubang Pasu yang sentiasa mendoakan kejayaan kami semua untuk menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara tersebut. Namun begitu, aku bersyukur kerana masih boleh bertahan dan tidak pitam di atas gunung tersebut. Jika perkara ini terjadi, pasti akan menyusahkan ramai pihak. Setelah beberapa lama berjalan menuruni gunung, kami tiba di Gunting Lagadan. Cikgu Malek pula masih meneruskan perjalanan ke biliknya di Laban Rata. Setelah masuk ke bilik, aku meneguk 100 plus yang kubawa. Setelah itu barulah badanku terasa bertenaga semula. Melihatkan jarum jam yang mengarah ke angka sepuluh dan 12, aku mula mnegemas barang-barang untuk turun ke Laban Rata bagi menikmati sarapan pagi. Di Laban Rata, kami dihidangkan dengan megi goreng, nasi goreng, dan lain-lain lagi.Aku memilih megi goreng bersama jus oren sebagai menu sarapanku pagi ini. Nasi yang kuagak lebih mengenyangkan bukanlah pilihanku memandangkan rasanya yang tidak kena dengan taste budsku. Kemudian, kami semua berehat-rehat sambil menikmati keindahan pagi itu.

Tepat jam 12 tengah hari, kami memulakan perjalan turun ke kaki gunung. Peluang yang ada aku gunakan untuk menikmati keindahan alam sepenuhnya. Mungkin lepas ni, aku tak berpeluang untuk ke sini lagi. Rafflesia yang ku intai dari semalam masih belum ditemui. Perjalanan turun lebih mudah dan mengambil masa lebih singkat daripada semalam. Walaupun begitu, perjalanan menuruni gunung ini dikatakan lebih memeritkan kaki terutamanya di bahagian jari kaki,sendi lutut,dan buku lali. Syukur aku sempat menimba sedikit ilmu menuruni gunung ini daripada rakan-rakan dan Cikgu Malek sendiri. Bagi mengelakkan kakiku sakit, aku menuruni gunung dengan seperti ketam. Aku yang berjalan bersama Asma dan Dhuha hanya berhenti di tiga perhentian bagi mengumpul semula tenaga dengan coklat dan air. Kern, Eyda , dan Ain sudah jauh kami tinggalkan. Aku yang bersama-sama mereka di awal perjalanan tadi tidak sedar di mana kami terpisah. Memandangkan perutku yang sememangnya kerap minta diisi, aku gagahi jua untuk sampai awal di kaki gunung bagi menikmati makan tengah hari yang disediakan di Kinabalu Park. Di pertengahan jalan, kami bertemu dengan pelajar-pelajar dari SESMA.Rupa- rupanya mereka juga menganjurkan ekspedisi seperti kami. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dan berharap mereka juga selamat sampai ke puncak. Setelah berjalan lebih kurang empat jam, akhirnya ekspedisi kami berakhir. Aku tiba di Timpohon Gate sekitar jam 3.40 petang bersama-sama perut yang sudah sedia menanti untuk diisi dengan menu makan tengah hari yang disediakan. Di Timpohon Gate, kami menunggu rakan-rakan yang lain dan sempat juga aku memuntahkan 100 plus dan coklat yang dimakan sepanjang perjalanan tadi. Rasanya perut ni dah tak boleh terima makanan seperti ini, mujurlah aku sempat tiba di Timpohon Gate. Pengalaman mendaki di Borneo ini tidak akan dapat ditimba di mana-mana gunung lain. Di sini juga aku belajar erti kesusahan dan kepayahan dalam mencapai sesuatu kejayaan. Kemanisan kejayan itu hanya akan dapat dirasai jika disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan penuh dengan cabaran…Cabaran Gunung Kinabalu..
Kesusahan dan kepayahanlah yang mengajar erti hidup. InsyaALLAH SPM tahun ini dapat ditempuhi dengan penuh keyakinan. Kira-kira jam 7.00 malam, semua peserta tiba di HQ Kinabalu Park. Syukur semuanya selamat sampai. Aku dan rakan-rakan yang lain menyelesaikan urusan sijil-sijil kami. Setelah membuat bayaran RM10 untuk sijil berwarna dan RM5 bagi sijil penyertaan.Kemudian, kami mula bergerak meninggalkan Headquarters Kinabalu Park sekitar jam 7.40 malam ke KBN Kundasang menaiki van.Keletihan menempuh cabaran ini tidak menghalang kami untuk bercerita semula tentang pengalaman yang ditimba selain bergurau senda tentang perkara lucu yang berlaku sepanjang perjalanan tadi.



Kami pulang membawa kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan dan kejayaan yang bakal menjadi topik perbualan di sekolah nanti. Tambahan pula, hanya enam puteri yang menyertai ekspedisi ini dan kami adalah kumpulan pertama dari i-kup yang mengukir kejayaan menawan Gunung Kinabalu. Tentunya rakan-rakan di sana menanti kepulangan kami dengan membawa kejayaan sebagai bukti Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu mampu melahirkan insan yang seimbang dari segi akademik,sahsiah, dan kokurikulum. Dan pastinya warga AXIS di I-kup tidak sabar-sabar menantikan cenderamata dari Sabah.Lebih-lebih lagi yang puteri tuu..Sejak hari pertama kami meninggalkan ikup lagi, bibir puteri-puteri AXIS tak henti-henti memberi nasihat dan berpesan supaya membawa pulang cenderamata untuk mereka. Guru-guru juga pastinya ingin sekali mendengar berita tentang kejayaan kami terutamanya Ustaz Ishak selaku PK HEM SBPI Kubang Pasu. Kejayaan ini diharap dapat menyuntik semangat pelajar-pelajar lain untuk datang sendiri ke bumi Borneo ini dan merasai sendiri keseronokan dan kepuasan mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara ini.Setakat ini sahaja pengalaman yang dapat saya kongsi untuk tatapan pembaca-pembaca semua. Segala pertanyaan sila berhubung dengan Haziqah Yusra bt Yaman. Emel:
fleecy_daisy@yahoo.com.my